1.1. Apakah itu Dana Kemakmuran Bumiputera?
• Dana Kemakmuran Bumiputera adalah dana berbentuk geran yang disediakan oleh Kerajaan sebagai “tipping point” atau pemangkin kepada syarikat Bumiputera yang berkelayakan bagi meneroka pelaburan baharu di dalam sektor strategik dan memberi impak positif kepada syarikat Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.
2.2. Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera?
Pemohon perlu melayari laman sesawang TERAJU iaitu www.teraju.gov.my. Sila pilih Program Dana Kemakmuran Bumiputera dan semak kelayakan syarikat anda dengan mengisi maklumat dan menjawab soalan pra-saringan kelayakan permohonan yang diberikan. Selain itu, pemohon juga boleh melayari terus https://dkb.terajuxchange.gov.my.
3.3. Bolehkah permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera dikemukakan terus kepada TERAJU tanpa melalui sistem dalam talian?
Tidak. Syarikat perlu membuat permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera melalui sistem dalam talian bagi mendapatkan no. rujukan fail sebagai bukti pendaftaran. Hanya permohonan melalui dalam talian akan diproses oleh TERAJU.
4.4. Di manakah Borang Permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera boleh diperolehi?
Borang Permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera, Senarai Semak dan dokumen lain yang berkaitan hanya akan dikemukakan melalui e-mel kepada syarikat Bumiputera yang layak dan berjaya melepasi pra-saringan.
5.5. Setelah syarikat saya berjaya melepasi pra-saringan, di manakah saya perlu menghantar dokumen permohonan Dana Bumiputera?
Dokumen permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera yang lengkap boleh dikemukakan kepada Bahagian Pembiayaan di Ibu Pejabat TERAJU atau TERAJU@Koridor tertakluk kepada lokasi projek yang akan dibangunkan oleh syarikat.
6.6. Sampai bila permohonan ini dibuka kepada umum?
Permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera ini akan dibuka selagi peruntukan dana yang disediakan oleh Kerajaan masih ada berdasarkan kepada “first come and first serve basis”.
7.7. Berapakah peruntukan Dana Kemakmuran Bumiputera yang disediakan dan apakah tujuannya?
  • Peruntukan Dana Kemakmuran Bumiputera disediakan oleh Kerajaan adalah sebanyak RM100 juta bertujuan untuk:
    1. Menyediakan sokongan dalam bentuk “tipping point” atau pemangkin kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang berkelayakan bagi meneroka pelaburan baharu di dalam sektor strategik selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bumiputera 2030.
    2. Meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat Bumiputera dalam persekitaran yang kompetitif dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di semua peringkat pekerjaan iaitu pekerja tidak mahir, pekerja separuh mahir dan pekerja mahir di kalangan Bumiputera.
    3. Membantu syarikat-syarikat Bumiputera dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan melalui program pengembangan perniagaan.
8.8. Apakah kriteria dan syarat kelayakan permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera?
  • Antara kriteria dan syarat kelayakan syarikat bagi permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera ini adalah seperti berikut:
    1. Syarikat merupakan pemohon kali pertama;
    2. Syarikat hendaklah diperbadankan di Malaysia di bawah Akta Syarikat 2016;
    3. Syarikat bukan terdiri daripada syarikat milikan tunggal (“enterprise”), konglomerat, syarikat tersenarai awam dan anak syarikatnya, syarikat berkaitan kerajaan (Government Linked Company – “GLC” dan Government Linked Investment Company – “GLIC”) serta anak syarikatnya, syarikat berkaitan Kerajaan Negeri dan anak syarikatnya, koperasi, yayasan, persatuan dan pertubuhan;
    4. 100% pegangan saham efektif syarikat dimiliki oleh Bumiputera;
    5. Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah Urusan / Majoriti Pengurusan Tertinggi adalah Bumiputera;
    6. Syarikat dan/atau mana – mana syarikat atau entiti tidak mempunyai pemegang saham atau pengarah atau penandatangan akaun bank yang sama yang pernah menerima bantuan geran Dana Mudahcara atau apa – apa geran daripada TERAJU dan/atau apa – apa geran Kerajaan bagi projek yang sama sebelum ini;
    7. Syarikat mempunyai kapasiti, keupayaan, kemahiran dan kepakaran untuk melaksanakan projek;
    8. Syarikat mempunyai hak milik ke atas tanah yang akan dibangunkan atau hak untuk melaksanakan projek di atas tanah yang dicadangkan (seperti Perjanjian Usahasama, Surat Wakil Kuasa, Perjanjian Pajakan) bagi projek yang melibatkan pembangunan infrastruktur asas; dan
    9. Syarikat telah memperoleh sekurang - kurangnya kelulusan Kebenaran Merancang oleh Pihak Berkuasa Tempatan (“PBT”) dan / atau kelulusan mandatori dari agensi-agensi lain yang berkaitan bagi memulakan pelaksanaan projek; dan
    10. Syarikat mempunyai sumber kewangan yang diperlukan bagi pembangunan projek.
9.9. Berapakah nilai kos projek yang layak untuk menyertai Program Dana Kemakmuran Bumiputera?
  • Kos projek yang layak (Qualifying Project Cost – “QPC”) bernilai:
    1. sekurang-kurangnya RM500 ribu hingga RM100 juta bagi pembelian mesin dan kelengkapan peralatan; atau
    2. sekurang – kurangnya RM2.5 juta hingga RM100 juta bagi projek pembangunan.
  • Kos projek tidak mengambil kira harga tanah, perbelanjaan operasi termasuk modal kerja, dan kos-kos berkaitan aset tidak ketara serta kos perkhidmatan.
10.10. Adakah nilai kontrak juga dianggap sebagai kos projek?
  • Tidak. Kos projek adalah kos bagi komponen projek yang menjadi aset syarikat yang boleh menjana pendapatan kepada syarikat.
  • Cth: Encik A memperoleh kontak daripada Vendor bernilai RM30 juta untuk membangunkan projek. Kos pembelian mesin yang diperlukan oleh Encik A sebagai aset syarikat untuk membangunkan projek tersebut adalah sebanyak RM10 juta. Oleh itu, kos projek bagi permohonan DKB ini hendaklah diisi dengan nilai RM10 juta.
11.11. Bolehkan syarikat telah mendapat kontrak Kerajaan untuk memohon Dana Kemakmuran Bumiputera?
  • Cth 1: Tidak boleh. Jika syarikat mendapat kontrak Kerajaan untuk membekalkan peralatan kepada Kerajaan kerana peralatan tersebut tidak dimiliki sepenuhnya oleh syarikat. Ia hanyalah urus niaga perdagangan biasa yang hanya menambahkan keuntungan syarikat.
  • Cth 2: Boleh. Jika syarikat mendapat kontrak Kerajaan untuk membekalkan peralatan kepada Kerajaan, syarikat memerlukan aset lain seperti sistem, gudang, lori dan sebagainya yang dapat menjana pendapatan syarikat dan aset tersebut akan menjadi milik syarikat sepenuhnya serta boleh digunakan semula untuk projek – projek lain yang akan datang.
12.12. Bolehkah saya memohon Dana Kemakmuran Bumiputera untuk projek yang sedang dilaksanakan?
  • Boleh sekiranya kemajuan projek tidak melebihi 30% daripada keseluruhan pembangunan projek semasa permohonan diterima. Laporan kemajuan projek hendaklah disahkan oleh Badan Profesional yang diiktiraf.
13.13. Berapakah had maksimum bantuan Dana Kemakmuran Bumiputera yang boleh dipohon oleh syarikat?
  • Had maksimum permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera yang boleh dipertimbangkan adalah sehingga 10% daripada kos projek yang layak atau RM2 juta, yang mana lebih rendah.
14.14. Bagaimanakah pembayaran Dana Kemakmuran Bumiputera ini akan disalurkan kepada syarikat?
  • Pembayaran Dana Kemakmuran Bumiputera akan dibuat secara pembayaran balik (“reimbursable basis”) iaitu:
    1. Pembayaran balik secara berperingkat (“progressive reimbursement”) sehingga dua (2) kali peringkat pembayaran iaitu semasa 50% kemajuan projek dan 100% projek siap; atau
    2. Pembayaran balik secara menyeluruh (“lump-sum reimbursement”).
  • Pihak TERAJU akan mengasingkan 5% wang tahanan (“retention sum”) daripada nilai dana yang diluluskan selama tempoh lima (5) tahun pemantauan projek sehinggalah pihak syarikat berjaya menamatkan program dan mengemukakan dokumen pemantauan projek yang diperlukan oleh pihak TERAJU.
15.15. Adakah syarikat akan menerima nilai penuh dana yang telah diluluskan?
  • Pembayaran dana akan disalurkan terus ke dalam akaun syarikat setelah mengambil kira kos - kos pengurusan dan Perjanjian Dana Kemakmuran Bumiputera.
16.16. Apakah projek yang tidak layak dipertimbangkan untuk Dana Kemakmuran Bumiputera?
  • Projek-Projek dengan Ciri-Ciri berikut Tidak Layak Dipertimbangkan bagi Permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera:
    1. Projek yang berkaitan/melibatkan sektor kewangan/perbankan kecuali teknologi kewangan (“financial technology”); atau
    2. Projek perumahan kecuali projek yang melibatkan pembangunan hartanah di tapak Tanah Rizab Melayu/Tanah Wakaf/Tanah Adat (Sabah & Sarawak); atau
    3. Projek di peringkat inkubator atau masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D); atau
    4. Projek pengambilalihan aset daripada syarikat sedia ada yang tidak melibatkan pelaburan baharu (contoh: pengambilalihan, penggabungan dan pengambilalihan); atau
    5. Projek yang telah mendapat peruntukan dan/atau dibiayai oleh geran lain yang disediakan oleh Kerajaan bagi pembangunan projek; atau
    6. Projek-projek perolehan Kerajaan kecuali bagi pembelian aset seperti mesin dan kelengkapan peralatan yang akan dimiliki oleh syarikat sepenuhya; atau
    7. Projek pelaburan di luar negara; atau
    8. Projek yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap bantuan kewangan Kerajaan; atau
    9. Projek yang mempunyai risiko yang sebahagian besar perlu ditanggung oleh Kerajaan; atau
    10. Projek yang memerlukan sokongan berterusan daripada Kerajaan; atau
    11. Permohonan dana tambahan bagi projek-projek Dana Kemakmuran Bumiputera yang telah diluluskan.
17.17. Apakah yang dimaksudkan dengan komponen infrastruktur?
Komponen infrastruktur yang dimaksudkan adalah perincian kos kepada kerja-kerja infrastruktur yang mempunyai “public touch point”, “inside boundary” dan “outside boundary” yang akan dilaksanakan oleh syarikat. Contohnya adalah komponen “road works”, “general infrastructure”, “utilities and public touch point elements”.
18.18. Adakah syarikat dibenarkan untuk mengemukakan lebih daripada satu permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera?
Tidak. Sekiranya syarikat mempunyai lebih daripada satu (1) cadangan projek, syarikat perlu memilih 1 sahaja projek bagi tujuan permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera ini.
19.19. Syarikat saya pernah mendapat geran Dana Kemakmuran Bumiputera daripada pihak TERAJU untuk projek sebelum ini. Bolehkah syarikat saya memohon geran ini untuk projek yang berbeza?
Keutamaan pemberian geran Dana Kemakmuran Bumiputera ini diberikan kepada syarikat yang memohon untuk kali pertama sahaja.
20.20. Sekiranya syarikat saya gagal untuk mendapatkan bantuan pada kali pertama, bolehkah syarikat saya memohon semula?
Tidak, hanya 1 permohonan Dana Kemakmuran Bumiputera sahaja untuk 1 syarikat.